Hatinya cuba bernyanyi kembali. Sesekali perut kecilnya berkeroncong minta diisi. Lantas bagaimana, jika tiada apa yang dapat menzahirkan lapar dan dahaga yang bersarang itu. Dia hanya mampu diam dan menanti. Jika ada rezeki dan jika emak tidak bersedih lagi maka perutnya pasti terisi. Jika tidak, sekali lagi dia harus berlagak kuat. Jangan buat emak bersedih lagi.

Sambil-sambil melayan perasaan, tangan mungilnya membetulkan alas tidur. Takut nanti emak bertambah kacau melihat isi rumah yang masih tidak terurus. Hatinya menjerit agar emak tidak bising-bising lagi seperti semalam. Hatinya juga menjerit agar abah bisa mengerti dan tidak berdolak-dalih lagi. Namun siapakah yang sudi mendengar rintih kecil di dadanya. Dia tidak layak bersuara. Dia masih belum cukup dewasa.

Sesekali dia ke dapur mengisi perutnya dengan air kosong. Hanya itu yang ada. Sesekali dia kembali ke bilik berbaring-baring sambil melihat dedaun ditiup angin. Damai sekali. Tiada lagi suara-suara bingit. Tiada lagi suara-suara penuh kebencian terhambur mengisi telinga dan hatinya. Dia selesa begini... sendiri.

Bosan sendirian di bilik, dia ke anjung rumah. Melihat dedai manusia mengisi pagi di jalanan. Ke mana mereka agaknya? Ada yang seusia dirinya berlari riang mengejar rentak langkah ibu dan bapa. Ke mana mereka agaknya? Dia tertanya sendiri. Dirinya hanya bisa terperok di sini. Hanya bisa melihat dari jauh. Haruskah dia bertanya? Ah! Nanti soalnya bisa saja buat emak menangis kembali. Dia tidak sanggup.

Lewat tengahari, dia tersedar, rupanya dia terlena di anjung rumah dengan perot yang semakin galak berkeroncong. Dari jauh kelihatan kelibat emak pulang mengayuh basikalnya. Hatinya berbunga riang. Emak sudah pulang. Seperti biasa raut wajah emak seperti hari-hari lalu...berkerut seribu. Emak hanya melihatnya tersenyum di ambang pintu. Tiada balas senyum, tiada kata-kata.

"Mak... Ayis lapar."
"Belum pun mak duduk kamu dah merengek bukan-bukan. Tak reti bahasa ke? Bagilah mak ni rehat sekejap. Nah makan je biskut ni dulu."

Berdenting-denting bunyi tin biskut kecil yang dicampak dari tangan emak terhumban ke lantai. Dia hanya mampu melihat. Nyatanya dia memang tersangat lapar. Dalam masa yang sama dia rasa cukup bersalah kerana tidak bisa mengerti kepenatan yang tergadah di bahu emak. Cepat-cepat dipungutnya tin biskut tersebut. Tudungnya diumpil...hanya ada tiga keping biskut kering. Dia kelaparan... dikotak fikirnya...

"Mak dah makan ke? Nanti kalau Ayis habiskan semua mak nak makan apa? Tak apalah Ayis makan satu setengah, tinggalkan untuk emak satu setengah."

Perlahan-lahan dijinjing tin biskut ke arah emak yang lena berbaring melepaskan lelah. Dia tidak mahu mengganggu. Ditinggalkan tin biskut itu di sisi emak. Mungkin nanti emak memerlukannya. Cepat-cepat dia beredar duduk kembali menikmati kepingan biskut bersama secawan air kosong. Kesunyian hadir kembali ibarat lagu namun syukurlah perutnya kini terisi...

0 hujahmu: