Petang semakin galak berganjak. Kelihatan kelibat kakak terkocoh-kocoh menutup tingkap dan pintu. Senja semakin melabuhkan tirai. Dia masih di ambang pintu sejak tadi. Asyik melihat dedaian anak-anak riang pulang dari sekolah. Sorak-sorai mereka menikam-nikam tangkai hati kecilnya. Benarkah di sana ada kebahagiaan yang tak terjangkau oleh akalnya? Hatinya tertanya sendiri.

"Ayis, bangun tutup pintu tu. Dah maghrib ni. Cepat pergi mandi, nanti mak marah." Suara lembut kakak berbisik ke telinganya agar tidak di dengari emak. Cepat-cepat dia berpaling melihat sekujur tubuh emak yang masih lena. Ditatap wajah kakak yang menegurnya sebentar tadi. Pantas dia bingkas dan menutup pintu perlahan-lahan. Tangan lembut kakak memimpinnya ke dapur.

"Kak, tak nak kejutkan emak ke?"
"Biarlah, mak letih. Nanti kalau kejut mak marah pula."
"Tapi dah maghrib..."
"Tak apa... nanti Kak kejutkan, ya? Ayis cabut baju dan mandi dulu. Kak dah letak air dalam baldi tu. Mandi bersih-bersih. Sabun badan, sabun kepala, ya. Kak nak masak. Baju dah ada kak letak atas kerusi tu. Nanti pakai, ya?"

Dia cuma mengangguk lemah. Dilihat kakak yang tergesa-gesa beredar ke dapur menyediakan apa yang patut. Perlahan-lahan dia membersihkan diri. Cahaya lampu minyak tanah meliuk-lintuk bagai membuai segala rasanya. Chik dan Angah juga sibuk di dapur. Abang? Abang tak akan pulang selagi embun belum turun ke bumi. Dia mengeluh sendiri. Air telaga yang disediakan kakak segera dijirus ke tubuh kurusnya. Aduh! Sejuknya mengigit-gigit hingga ke tulang. Mahu saja dia mandi sekadarnya kerana perit sejuk yang terasa tetapi dia tidak suka menidakkan pesanan kakak.

Selesai sahaja, cepat-cepat di kesat tubuh dan dikenakan pakaian yang tersedia. Dia sudah terlebih biasa melakukan segalanya sendiri. Selesai menyikat rambut, dia menjenguk emak yang masih berbaring. Hatinya berkata...

"Kenapa kak tak kejutkan emak lagi? Nanti emak mesti marah. Tapi Ayis takut nak kejut..." Sedang dia leka memikirkan sekelumit resah di dada kecilnya, emak terjaga. Terpisat-pisat melihat jam kecil. Dia buntu di situ.

"Ya Allah... dah pukul berapa ni? Mana kakak engkau, Ayis? Kenapa tak kejutkan mak? Dah maghrib! Bertuah punya anak!" Cepat-cepat Ayis berlari ke dapur. Hatinya kalut. Fikirannya serabut.

"Kakak! Kakak! Mak dah bangun... Mak marah..."

"Kenapa tak kejutkan mak? Susah sangat ke kamu semua ni nak kejutkan mak? Kamu biar saja mak kamu terbongkang tengah rumah, lepas tu kamu bergelak ketawa, terkekek-kekek kat sini? Kalau aku mati pun kamu biar je la agaknya?!" Jerkah emak lantang tiba-tiba. Wajah mereka berubah resah.

"Uji ingat mak letih... Tak nak ganggu mak tidur. Uji tengok mak nampak letih sangat. Sebab tu tak nak kejutkan dulu. Lepas masak baru nak kejut."

"Oooo sekarang kau dah pandai menjawab ye? Eloklah tu, bagi contoh kat adik-adik. Kamu semua ni sama saja macam abah kamu. Tak reti bahasa! Ni, yang paling tua ni memang sayang sangat kat abah, apa mak cakap semua menjawab. Mulut tu patut di cilikan saja!"

"Makkkk...jangan makkk..."

Dan Ayis kekalutan sendiri. Untuk menolong tidak terdaya. Melihat sandiwara di hadapan matanya, ingin hatinya menjerit...

"Mak... jangan sakiti kakak! Jangan sakiti Angah! Jangan sakiti Chik. Jangan! Jangan! Sakiti Ayis, mak! Pukul Ayis mak!" Namun lidahnya kelu. Kakinya kaku. Yang ada hanya linangan airmata dan debar jantung yang beraja. Dia hanya mampu duduk berteleku di sudut dapur melihat kesedihan itu. Melihat remuk sejuta segala rasa dalam rintih dan jerit yang saling bertingkah...

"Jangan mak... jangan sakiti kakak lagi. Sakiti Ayis, mak... Sakiti Ayis..." Kata itu silih berganti di benak dan hatinya dan airmata bagai sungai yang mengalir tiada henti melemaskan sekeping jiwa rapuhnya sekali lagi....

0 hujahmu: