Hari ini seperti selalu, dia tinggal sendiri lagi. Bukan dia tidak biasa. Cuma, kerana keterbiasaan itu jugalah yang kadangkala menghiris-hiris perasaan kecilnya. Yang menyapa paginya hanya kesunyian. Ada masa dia jelak. Tiada teman-teman. Jika ada sekalipun, sungguh dia gusar. Dia tidak tahu menyusun kata-kata. Selama ini, dia hanya bertemankan sunyi yang tidak memerlukannya bersuara. Sebenarnya, dia janggal. Sungguh janggal berada di dalam kelompok manusia kerana keterbiasaan bersendiri begini. Yang ada hanya radio dan buku-buku tinggalan kakak sebagai teman. Yang ada hanya pensel dan kertas tempat dia meluahkan isi hatinya dalam lakar-lakar yang tak sudah.

Dia berlari-lari anak ke dapur. Ahhh... kakak ada tinggalkan nasi goreng. Tidak perlulah dia berlapar hingga ke petang lagi. Segera dibuka tudung saji. Dituangkannya segelas air kosong seperti selalu. Baginya, inilah makanan yang cukup hebat untuk hari ini. Nasi goreng kosong dan ikan masin itu ditelan sungguh berselera. Selesai sahaja, pinggan segera dicucinya. Walaupun tidak begitu pandai, dia mencuba. Kemudian, dia kembali berlari ke anjung rumah, tempat di mana dia sering menghabiskan masa-masa sunyi itu sendiri.

"Cemi... Cemi... Nak tengok tak Ayis lukis gambar emak? Mari Ayis tunjuk. Nanti Ayis nak bagi pada mak."

Di paut kucing kesayangannya ke sisi, sama-sama melihat hasil lakarannya sebentar tadi. Dia tahu dia ada kelebihan yang tidak di miliki orang lain. Kelebihan itu jugalah yang sering mengisi kesunyiannya. Kelebihan itu jugalah yang digunakannya untuk meluahkan segala isi hati yang terbuku sepi.

"Ini Ayis... Ini emak... Kami nak pergi jalan-jalan. Emak pimpin tangan Ayis. Kami pakai baju cantik. Cantik tak lukisan Ayis ni?"

Tiada jawapan yang diterimanya. Hanya pandangan kasih seekor binatang yang tahu menilai kasih yang diberi. Dia mengusap-usap kepala Cemi kembali. Diciumnya pipi mongel Cemi berkali-kali.

"Nanti Ayis lukis gambar Cemi pula ya? Tapi atas kertas lain la. Yang ini Ayis nak bagi pada mak. Mak mesti suka. Betul tak?"

Dan dia terus leka melakarkan segala impian kosongnya yang entah bila mampu tertunai di atas kertas putih tanpa warna. Sesekali dia bernyanyi sendiri. Sesekali dia ketawa melihat gelagat manja si Cemi, berguling-guling mintakan perhatian. Sesekali dia berhenti kepenatan dan berbaring, merenung kosong atap zink, jadi teduh tubuhnya. Fikirannya kosong. Sesekali juga dia mendengus, seakan marah. Marah dengan dirinya sendiri kerana tidak berupaya melakukan sesuatu untuk emak dan keluarga.

"Cemi, hari dah panas. Ayis nak mandi. Nak pakai bedak, sikat rambut cantik-cantik. Ayis nak tunggu mak balik. Nak bagi lukisan ni pada mak. Nanti mak sampai Ayis bagilah. Cemi rasa mak suka tak? Suka, kan? Mari kita kemas...."

Diusap kembali badan Cemi yang mongel. Diciumnya perut kucing itu berkali-kali sambil girang ketawa. Kemudian cepat-cepat dikemaskan barang-barang yang bersepah di lantai anjung. Disusunnya kemas di atas meja dan dia cepat-cepat berlari mencari tuala lalu terus ke bilik air membersihkan diri. Hatinya bernyanyi. Akan di jadikan lakarnya itu sebagai luah rindunya yang telah lama terbuku. Sungguh dia rindu. Rindu mengharap kemesraan kasih itu. Bagaimana rasanya? Dia bernyanyi lagi... mengisi sunyi, mengisi gusar yang adakala menjengah diri. Bagaimana jika rindunya membeku lagi...

Periuk belanga bertaburan. Nasi kecah tertumpah ke lantai. Emak masih galak merungut tak sudah. Hatinya kacau. Sungguh kacau. Kakak, Angah dan Chik masih tegar dalam esak yang panjang. Dia hanya mampu memerhati. Sekuat manakah tenaga yang ada untuk menghalang segalanya? Itu bukan kudratnya. Emak berlalu ke bilik masih dalam marah dan geram yang hanya mampu dilampiaskan begini. Abah? Abah masih belum juga pulang. Abang? Abang entah ke mana menghilang. Perlahan-lahan dia bangkit dari sudut dapur lalu cuba mengutip nasi yang bertaburan di lantai. Ini santapan malamnya.

"Jangan kutip, Ayis. Nasi tu dah kotor." Dia masih juga diam dan sesekali menahan esak.

"Kakak masak yang lain, ya? Dah jangan kutip nasi tu. Angah, pergi kutip periuk dan pinggan. Chik cari mop, mop lantai, ya?" Dia segera dipimpin kakak ke sinki. Di sabun tangannya agar kembali bersih.

"Ayis dah cakap, bangunkan emak. Akak tak mahu. Kalau akak bangunkan emak tentu akak tak kena pukul."
"Ya, akak salah. Nanti akak masak nasi yang lain, ya. Tunggu sampai marah mak reda dulu."
"Kenapa mak asyik marah saja? Mak tak suka Ayis ke? Mak tak sayang Ayis ke?"
"Bukan... mak susah hati tu. Dia penat. Dah, lepas kemas ni akak masak nasi semula, ya? Bila mak dah tidur nanti kita turun semula, kita makan, ya?"

Dia hanya mampu menganggukkan kepala. Hatinya masih celaru. Jiwa kecilnya masih gentar. Ini bukan dunia yang diimpikannya. Selesai kakak menanak nasi, segera mereka berlalu ke bilik. Rungut dan bebel emak masih jelas mengisi sunyi malam. Mereka hanya mampu membisu. Dari celah-celah daun pintu bilik dia memerhatikan tingkah emak yang sedang menjahit pakaiannya tetapi masih juga penuh dengan rungutan. Dia tidak begitu mengerti. Jika emak marahkan abah, lantas kenapa dirinya yang menjadi mangsa? Api pelita minyak tanah masih meliuk-lintuk di tiup angin malam. Sesekali dia mengerling ke arah kakak yang sibuk menyiapkan tugasan sekolah.

"Kak, tahun depan umur Ayis berapa?"
"Tujuh tahun. Kenapa?"
"Ayis dah boleh sekolah macam Akak, Angah dan Chik, kan? Seronok tak?"
"Kalau nak sekolah kena jadi budak pandai. Kena rajin baca buku."
"Ayis kena baca banyak buku ke? Ayis kan dah pandai baca, nanti kena belajar lagi ke?"
"Tentulah kena. Ayis cuma tahu baca saja sekarang tapi nanti kat sekolah cikgu akan ajar lagi banyak supaya jadi lagi pandai."
"Oooo...."
"Hari ni Ayis ada baca apa-apa tak?"
"Tu... baca tu." Jarinya ditundingkan ke arah sebuah buku kecil di tepi katil.
"Itu kamuslah...." Sampuk Angah.
"Tak apalah kamus pun elok juga...."

Dia kembali termenung melihat gelagat kakak-kakaknya sibuk menyiapkan kembali tugasan. Suara emak sudah tidak kedengaran lagi. Cepat-cepat dia mengintai dari celah daun pintu. Emak masih di situ. Hatinya sayu. Ingin saja dia pergi kepada emak menyatakan dia rindukan belaiannya. Dia rindukan banyak perkara. Ingin saja diluahkan agar emak tidak perlu terlalu memikirkan tentang abah. Abah tidak akan berubah. Jauh di sudut hatinya, dia tahu emak kesunyian seperti dirinya. Malam ini di rasakan terlalu lambat beredar. Satu malam yang cukup panjang menjadikan dirinya lemas dan resah. Adakah malam-malam seperti ini bakal mengisi keseluruhan hidupnya nanti? Tidak! Dia tidak mahu begini. Dia kembali melihat kakak yang sibuk pula mengemas buku dan beg sekolah... Malam ini satu malam yang panjang. Satu malam seperti malam-malam yang sebelumnya membawa jiwa kecil dan rapuh ke alam gelita yang tak mampu disuarakannya....

Petang semakin galak berganjak. Kelihatan kelibat kakak terkocoh-kocoh menutup tingkap dan pintu. Senja semakin melabuhkan tirai. Dia masih di ambang pintu sejak tadi. Asyik melihat dedaian anak-anak riang pulang dari sekolah. Sorak-sorai mereka menikam-nikam tangkai hati kecilnya. Benarkah di sana ada kebahagiaan yang tak terjangkau oleh akalnya? Hatinya tertanya sendiri.

"Ayis, bangun tutup pintu tu. Dah maghrib ni. Cepat pergi mandi, nanti mak marah." Suara lembut kakak berbisik ke telinganya agar tidak di dengari emak. Cepat-cepat dia berpaling melihat sekujur tubuh emak yang masih lena. Ditatap wajah kakak yang menegurnya sebentar tadi. Pantas dia bingkas dan menutup pintu perlahan-lahan. Tangan lembut kakak memimpinnya ke dapur.

"Kak, tak nak kejutkan emak ke?"
"Biarlah, mak letih. Nanti kalau kejut mak marah pula."
"Tapi dah maghrib..."
"Tak apa... nanti Kak kejutkan, ya? Ayis cabut baju dan mandi dulu. Kak dah letak air dalam baldi tu. Mandi bersih-bersih. Sabun badan, sabun kepala, ya. Kak nak masak. Baju dah ada kak letak atas kerusi tu. Nanti pakai, ya?"

Dia cuma mengangguk lemah. Dilihat kakak yang tergesa-gesa beredar ke dapur menyediakan apa yang patut. Perlahan-lahan dia membersihkan diri. Cahaya lampu minyak tanah meliuk-lintuk bagai membuai segala rasanya. Chik dan Angah juga sibuk di dapur. Abang? Abang tak akan pulang selagi embun belum turun ke bumi. Dia mengeluh sendiri. Air telaga yang disediakan kakak segera dijirus ke tubuh kurusnya. Aduh! Sejuknya mengigit-gigit hingga ke tulang. Mahu saja dia mandi sekadarnya kerana perit sejuk yang terasa tetapi dia tidak suka menidakkan pesanan kakak.

Selesai sahaja, cepat-cepat di kesat tubuh dan dikenakan pakaian yang tersedia. Dia sudah terlebih biasa melakukan segalanya sendiri. Selesai menyikat rambut, dia menjenguk emak yang masih berbaring. Hatinya berkata...

"Kenapa kak tak kejutkan emak lagi? Nanti emak mesti marah. Tapi Ayis takut nak kejut..." Sedang dia leka memikirkan sekelumit resah di dada kecilnya, emak terjaga. Terpisat-pisat melihat jam kecil. Dia buntu di situ.

"Ya Allah... dah pukul berapa ni? Mana kakak engkau, Ayis? Kenapa tak kejutkan mak? Dah maghrib! Bertuah punya anak!" Cepat-cepat Ayis berlari ke dapur. Hatinya kalut. Fikirannya serabut.

"Kakak! Kakak! Mak dah bangun... Mak marah..."

"Kenapa tak kejutkan mak? Susah sangat ke kamu semua ni nak kejutkan mak? Kamu biar saja mak kamu terbongkang tengah rumah, lepas tu kamu bergelak ketawa, terkekek-kekek kat sini? Kalau aku mati pun kamu biar je la agaknya?!" Jerkah emak lantang tiba-tiba. Wajah mereka berubah resah.

"Uji ingat mak letih... Tak nak ganggu mak tidur. Uji tengok mak nampak letih sangat. Sebab tu tak nak kejutkan dulu. Lepas masak baru nak kejut."

"Oooo sekarang kau dah pandai menjawab ye? Eloklah tu, bagi contoh kat adik-adik. Kamu semua ni sama saja macam abah kamu. Tak reti bahasa! Ni, yang paling tua ni memang sayang sangat kat abah, apa mak cakap semua menjawab. Mulut tu patut di cilikan saja!"

"Makkkk...jangan makkk..."

Dan Ayis kekalutan sendiri. Untuk menolong tidak terdaya. Melihat sandiwara di hadapan matanya, ingin hatinya menjerit...

"Mak... jangan sakiti kakak! Jangan sakiti Angah! Jangan sakiti Chik. Jangan! Jangan! Sakiti Ayis, mak! Pukul Ayis mak!" Namun lidahnya kelu. Kakinya kaku. Yang ada hanya linangan airmata dan debar jantung yang beraja. Dia hanya mampu duduk berteleku di sudut dapur melihat kesedihan itu. Melihat remuk sejuta segala rasa dalam rintih dan jerit yang saling bertingkah...

"Jangan mak... jangan sakiti kakak lagi. Sakiti Ayis, mak... Sakiti Ayis..." Kata itu silih berganti di benak dan hatinya dan airmata bagai sungai yang mengalir tiada henti melemaskan sekeping jiwa rapuhnya sekali lagi....

Sesekali perut kecilnya masih juga berbunyi minta diisi kembali. Mana kan mampu satu setengah keping biskut melenyapkan kelaparan sepanjang malam, pagi dan petang. Sesekali dia menggosok perutnya.

"Perut jangan sakit ya. Tunggulah sekejap nanti kakak balik tentu dia masak nasi, ya" Bisiknya sendiri. Apa lagi yang harus diperkata selain dari itu? Apa lagi yang harus dilakukan selain dari berharap? Dilihat jauh ke tengah jalan, mencari kelibat kakak yang di maksudkan. Tiada. Emak sudah lama terlena. Abah? Mungkin abah tidak akan pulang seperti biasa. Selalaunya begitu jika emak dan abah berlagak buntu begitu.

Sesekali kelihatan emak berdengus resah. Ada rasa sayu di hatinya. Kenapa mesti emak dan abah sentiasa bercakaran? Emak sentiasa meminta. Abah sentiasa leka. Dia kebingungan melayan perasaan kecilnya. Adakala dia memahami apa yang terjadi. Adakala lansung tidak mampu di fahami segalanya.

Kembali dia merenung jam kecil yang tersangkut di dinding. Entah pukul berapa. Dia tidak pandai mengira. Namun dia tahu hari kini semakin petang. Perutnya masih galak meminta. Cepat-cepat dia turun ke halaman. Di dongak pohon rambutan yang pernah berbuah lebat. Ah! Sisa buahnya masih ada. Cepat-cepat tangan mungilnya mengambil galah. Satu, dua, tiga... rambutan jatuh berdedaian. Itu sahaja. Cepat-cepat dia mengupasnya.

"Mak kamu dah balik Ayis?" Sapa seorang kenalan emaknya tiba-tiba. Dia terpana. mengangguk dan tersenyum.

"Kamu dah makan ke belum?" Cepat-cepat dia mengangguk. Dia mengerti harga maruah diri. Tiada galang ganti. Kenalan emak berlalu pergi sambil menggeleng-gelengkan kepalanya dan dia hanya mampu tersenyum seperti selalu. Kring! Kring! Kring! Ahhh kakak dah balik! Hatinya girang menyambut kakak dia ambang pagar.

"Ayis buat apa kat sini?"
"Makan rambutan."
"Mak mana? Dah balik ke belum? Abah? Abang mana?"
"Dah. Mak tidur. Abah tak ada. Abang tak tau..."
"Ayis dah makan?"

Dia terdiam. Dibiarkan pertanyaan kakaknya berlalu bagai angin lalu. Dia tahu jawapan itu pasti ada di benak minda kakaknya seperti selalu. Di tahan airmata yang mula mampir. Berhentilah menangis...hanya anak kecil yang menangis!

"Jom balik, akak masak apa yang ada. Kita makan, ya?"

Dia hanya tersenyum membontoti langkah kakak yang juga longlai kepenatan kerana seharian menimba ilmu. Cepat-cepat diangkatnya beg sekolah dan peralatan kakak ke bilik. Dari jauh kelihatan emak masih juga lena. Biarlah. Dia sudah ada peneman. Mendengar celoteh kakak buat hatinya berbunga.

"Kakak masak nasi dengan goreng telur aje ya? Itu saja yang ada ni."
"Tak payah la goreng banyak telur tu, Ayis bukan makan banyak. Kakak boleh makan yang Ayis juga."

Kakak tersenyum melihat senyuman merahnya dan dia berkata kembali pada hati agar bisa menjadi kuat untuk kakak dan pujuk di hatinya agar berhentilah menangis untuk hari ini...

Hatinya cuba bernyanyi kembali. Sesekali perut kecilnya berkeroncong minta diisi. Lantas bagaimana, jika tiada apa yang dapat menzahirkan lapar dan dahaga yang bersarang itu. Dia hanya mampu diam dan menanti. Jika ada rezeki dan jika emak tidak bersedih lagi maka perutnya pasti terisi. Jika tidak, sekali lagi dia harus berlagak kuat. Jangan buat emak bersedih lagi.

Sambil-sambil melayan perasaan, tangan mungilnya membetulkan alas tidur. Takut nanti emak bertambah kacau melihat isi rumah yang masih tidak terurus. Hatinya menjerit agar emak tidak bising-bising lagi seperti semalam. Hatinya juga menjerit agar abah bisa mengerti dan tidak berdolak-dalih lagi. Namun siapakah yang sudi mendengar rintih kecil di dadanya. Dia tidak layak bersuara. Dia masih belum cukup dewasa.

Sesekali dia ke dapur mengisi perutnya dengan air kosong. Hanya itu yang ada. Sesekali dia kembali ke bilik berbaring-baring sambil melihat dedaun ditiup angin. Damai sekali. Tiada lagi suara-suara bingit. Tiada lagi suara-suara penuh kebencian terhambur mengisi telinga dan hatinya. Dia selesa begini... sendiri.

Bosan sendirian di bilik, dia ke anjung rumah. Melihat dedai manusia mengisi pagi di jalanan. Ke mana mereka agaknya? Ada yang seusia dirinya berlari riang mengejar rentak langkah ibu dan bapa. Ke mana mereka agaknya? Dia tertanya sendiri. Dirinya hanya bisa terperok di sini. Hanya bisa melihat dari jauh. Haruskah dia bertanya? Ah! Nanti soalnya bisa saja buat emak menangis kembali. Dia tidak sanggup.

Lewat tengahari, dia tersedar, rupanya dia terlena di anjung rumah dengan perot yang semakin galak berkeroncong. Dari jauh kelihatan kelibat emak pulang mengayuh basikalnya. Hatinya berbunga riang. Emak sudah pulang. Seperti biasa raut wajah emak seperti hari-hari lalu...berkerut seribu. Emak hanya melihatnya tersenyum di ambang pintu. Tiada balas senyum, tiada kata-kata.

"Mak... Ayis lapar."
"Belum pun mak duduk kamu dah merengek bukan-bukan. Tak reti bahasa ke? Bagilah mak ni rehat sekejap. Nah makan je biskut ni dulu."

Berdenting-denting bunyi tin biskut kecil yang dicampak dari tangan emak terhumban ke lantai. Dia hanya mampu melihat. Nyatanya dia memang tersangat lapar. Dalam masa yang sama dia rasa cukup bersalah kerana tidak bisa mengerti kepenatan yang tergadah di bahu emak. Cepat-cepat dipungutnya tin biskut tersebut. Tudungnya diumpil...hanya ada tiga keping biskut kering. Dia kelaparan... dikotak fikirnya...

"Mak dah makan ke? Nanti kalau Ayis habiskan semua mak nak makan apa? Tak apalah Ayis makan satu setengah, tinggalkan untuk emak satu setengah."

Perlahan-lahan dijinjing tin biskut ke arah emak yang lena berbaring melepaskan lelah. Dia tidak mahu mengganggu. Ditinggalkan tin biskut itu di sisi emak. Mungkin nanti emak memerlukannya. Cepat-cepat dia beredar duduk kembali menikmati kepingan biskut bersama secawan air kosong. Kesunyian hadir kembali ibarat lagu namun syukurlah perutnya kini terisi...

Seingat akalnya seperti hari yang terdahulu, dia terjaga di dalam kesunyian dan dingin pagi. Tiada siapa pun di sini. Dia sendiri seperti selalu. Terpisat-pisat dia bangkit dari katil lantas terus merenung wajah mungil tanpa garis senyum di cermin berbalam kelabu. Yang dilihatnya bukan seorang anak kecil berusia enam tahun yang seharusnya galak menikmati hidup. Yang dilihatnya juga bukan anak kecil yang sepenuhnya hidup untuk bergembira ketika adanya masa. Yang dilihatnya di hampar cermin berbalam kelabu itu hanya kesunyian yang tidak tahu untuk diungkaikan oleh jiwa sekecil dirinya. Sesekali dia mengeluh dan melihat keluar jendela. Mencari teman setianya saban pagi.

"Cip! Cip! Cip!"
"Ahhh selamat pagi juga Cik Murai!" Jeritnya tatkala mendengar sapa yang sering di nantikannya

"Cip! Cip! Cip!"
"Saya baru bangunlah... macam mana nak makan. Semua orang tak ada agaknya. Tinggal saya saja. Nantilah. Kalau ada makanan saya makanlah." Ujarnya lagi bagaikan faham bahasa si unggas atau mungkin juga sekadar menyedapkan jiwa kosongnya.

"Cip! Cip! Cip!"
"Ahh... nyanyilah macam biasa. Tapi hari ni sekejap saja, ya? Saya nak kemas rumah. Nanti mak marah lagi. Semalam pun mak dan abah bising-bising. Saya tak sukalah. Saya takut. Cik Murai, awak takut tak bunyi bising? Saya takut, tapi kalau saya cakap nanti semuanya buat tak tahu saja. Tak apalah... diam sajalah, kan Cik Murai?" Ujar bibir petah itu sambil tertinjau-tinjau ke dahan pohon nangka di tepi jendela. Sesekali dia tersenyum sendiri. Sesekali dia ketawa melihat gelagat Cik Murai melompat-lompat dari dahan ke dahan.

Puas bernyanyi sambil bertenggek di jendela kayu itu dia kembali semula ke hadapan cermin berbalam kelabu. Hilang segala kotak ketawa, hilang segala garis senyumnya. Yang ada hanya kesunyian dan sepi yang tak bisa di gambarkan. Perlahan-lahan dia meninggalkan ruang sepi, meninjau ke luar bilik... kosong. Longlai kakinya melangkah ke ruang tamu... kosong. Di kotak fikirnya di congak-congakkan sesuatu...

"Abah tak ada... pergi kerja. Kakak? Hurmm... semua tak ada. Pergi sekolah. Abang? Mesti tak bangun lagi. Mana mak?" Cepat-cepat dia berlari ke dapur mengharap emak berada di situ menyambut paginya. Mungkin kali ini ada seseorang boleh di ajak sarapan bersama. Hatinya berbunga gembira.

"Mak... mak... mak masak apa? Ayis laparlah mak." Laung suara keanak-anakkannya yang masih menebal. Senyumnya melebar diusung ke ruang dapur mengharap seseorang berada di situ untuk dirinya pagi ini.

"Mak... mak...." Kakinya terhenti. Mulutnya terkunci. Di situ... di ruang dapur itu hanya ada kekosongan tidak seperti yang di harapkannya. Emak tiada. Tiada haruman enak hidangan pagi. Tiada air minum terhidang di meja legakan dahaga tekak kecilnya. Perutnya berbunyi tiba-tiba. Sesekali diusapnya.

"Perut jangan lapar, ya? Mak tak ada. Abang belum bangun. Makanan tak ada. Macam mana nak masak? Ayis tak tahulah. Nak kejut abang nanti dia marah. Nanti Ayis kena cubit, sakit. Perut jangan sakit, ya? Mak susah hati sebab tu tak larat nak masak makan. Tengahari nanti mak baliklah... kita boleh makan, ya? Jom main lukis-lukis?" Bicaranya cuba mengubat hati. Perlahan-lahan dia beredar meninggalkan ruang dapur dan sesekali dilepaskan pandang ke arah meja yang kosong, sekosong hidupnya....

Alam di bening subuh lewat tahun 70an itu bagai mengetahui rona tangisan satu suara halus mengisi ketenangan. Sendunya terlalu halus seolah mengerti rentan beban yang tergadah di bahunya kini. Adakah tangisan itu wajah ketakutan atau mungkin juga sisa pinta terakhirnya agar dileraikan segala pedih hidup yang bakal bertamu. Alam ini terlalu asing dari segenap pandangnya yang naif. Keterasingan yang dihidangkan tanpa pinta dan untuk apa.

Lewat bening subuh tahun 70an itu menyaksikan satu lagi jiwa halus lahir ke dunia. Putih bersih tiada cacat celanya. Perjalanan yang masih jauh untuknya terbentang kini. Adakah lahirnya jadi saksi sandiwara dunia atau mungkin jadi panduan tulus bagi setiap insan bernyawa mengenal hitam dari putih, memilih sayang berbanding benci, menjunjung benar singkirkan dusta? Tangis si kecil masih utuh bergema melihat segala juang dalam dunia baru yang bakal di laluinya. Gagahkah sekujur jiwa mulusnya? Tegarkah sabar di dada? Atau mungkin saja dia lenyap dalam tangis yang panjang sepanjang hayat jika itu takdirnya....

Lewat bening subuh tahun 70an itu adalah titik mula perhitungan sebuah kehidupan....