Periuk belanga bertaburan. Nasi kecah tertumpah ke lantai. Emak masih galak merungut tak sudah. Hatinya kacau. Sungguh kacau. Kakak, Angah dan Chik masih tegar dalam esak yang panjang. Dia hanya mampu memerhati. Sekuat manakah tenaga yang ada untuk menghalang segalanya? Itu bukan kudratnya. Emak berlalu ke bilik masih dalam marah dan geram yang hanya mampu dilampiaskan begini. Abah? Abah masih belum juga pulang. Abang? Abang entah ke mana menghilang. Perlahan-lahan dia bangkit dari sudut dapur lalu cuba mengutip nasi yang bertaburan di lantai. Ini santapan malamnya.

"Jangan kutip, Ayis. Nasi tu dah kotor." Dia masih juga diam dan sesekali menahan esak.

"Kakak masak yang lain, ya? Dah jangan kutip nasi tu. Angah, pergi kutip periuk dan pinggan. Chik cari mop, mop lantai, ya?" Dia segera dipimpin kakak ke sinki. Di sabun tangannya agar kembali bersih.

"Ayis dah cakap, bangunkan emak. Akak tak mahu. Kalau akak bangunkan emak tentu akak tak kena pukul."
"Ya, akak salah. Nanti akak masak nasi yang lain, ya. Tunggu sampai marah mak reda dulu."
"Kenapa mak asyik marah saja? Mak tak suka Ayis ke? Mak tak sayang Ayis ke?"
"Bukan... mak susah hati tu. Dia penat. Dah, lepas kemas ni akak masak nasi semula, ya? Bila mak dah tidur nanti kita turun semula, kita makan, ya?"

Dia hanya mampu menganggukkan kepala. Hatinya masih celaru. Jiwa kecilnya masih gentar. Ini bukan dunia yang diimpikannya. Selesai kakak menanak nasi, segera mereka berlalu ke bilik. Rungut dan bebel emak masih jelas mengisi sunyi malam. Mereka hanya mampu membisu. Dari celah-celah daun pintu bilik dia memerhatikan tingkah emak yang sedang menjahit pakaiannya tetapi masih juga penuh dengan rungutan. Dia tidak begitu mengerti. Jika emak marahkan abah, lantas kenapa dirinya yang menjadi mangsa? Api pelita minyak tanah masih meliuk-lintuk di tiup angin malam. Sesekali dia mengerling ke arah kakak yang sibuk menyiapkan tugasan sekolah.

"Kak, tahun depan umur Ayis berapa?"
"Tujuh tahun. Kenapa?"
"Ayis dah boleh sekolah macam Akak, Angah dan Chik, kan? Seronok tak?"
"Kalau nak sekolah kena jadi budak pandai. Kena rajin baca buku."
"Ayis kena baca banyak buku ke? Ayis kan dah pandai baca, nanti kena belajar lagi ke?"
"Tentulah kena. Ayis cuma tahu baca saja sekarang tapi nanti kat sekolah cikgu akan ajar lagi banyak supaya jadi lagi pandai."
"Oooo...."
"Hari ni Ayis ada baca apa-apa tak?"
"Tu... baca tu." Jarinya ditundingkan ke arah sebuah buku kecil di tepi katil.
"Itu kamuslah...." Sampuk Angah.
"Tak apalah kamus pun elok juga...."

Dia kembali termenung melihat gelagat kakak-kakaknya sibuk menyiapkan kembali tugasan. Suara emak sudah tidak kedengaran lagi. Cepat-cepat dia mengintai dari celah daun pintu. Emak masih di situ. Hatinya sayu. Ingin saja dia pergi kepada emak menyatakan dia rindukan belaiannya. Dia rindukan banyak perkara. Ingin saja diluahkan agar emak tidak perlu terlalu memikirkan tentang abah. Abah tidak akan berubah. Jauh di sudut hatinya, dia tahu emak kesunyian seperti dirinya. Malam ini di rasakan terlalu lambat beredar. Satu malam yang cukup panjang menjadikan dirinya lemas dan resah. Adakah malam-malam seperti ini bakal mengisi keseluruhan hidupnya nanti? Tidak! Dia tidak mahu begini. Dia kembali melihat kakak yang sibuk pula mengemas buku dan beg sekolah... Malam ini satu malam yang panjang. Satu malam seperti malam-malam yang sebelumnya membawa jiwa kecil dan rapuh ke alam gelita yang tak mampu disuarakannya....

0 hujahmu: