Sesekali perut kecilnya masih juga berbunyi minta diisi kembali. Mana kan mampu satu setengah keping biskut melenyapkan kelaparan sepanjang malam, pagi dan petang. Sesekali dia menggosok perutnya.

"Perut jangan sakit ya. Tunggulah sekejap nanti kakak balik tentu dia masak nasi, ya" Bisiknya sendiri. Apa lagi yang harus diperkata selain dari itu? Apa lagi yang harus dilakukan selain dari berharap? Dilihat jauh ke tengah jalan, mencari kelibat kakak yang di maksudkan. Tiada. Emak sudah lama terlena. Abah? Mungkin abah tidak akan pulang seperti biasa. Selalaunya begitu jika emak dan abah berlagak buntu begitu.

Sesekali kelihatan emak berdengus resah. Ada rasa sayu di hatinya. Kenapa mesti emak dan abah sentiasa bercakaran? Emak sentiasa meminta. Abah sentiasa leka. Dia kebingungan melayan perasaan kecilnya. Adakala dia memahami apa yang terjadi. Adakala lansung tidak mampu di fahami segalanya.

Kembali dia merenung jam kecil yang tersangkut di dinding. Entah pukul berapa. Dia tidak pandai mengira. Namun dia tahu hari kini semakin petang. Perutnya masih galak meminta. Cepat-cepat dia turun ke halaman. Di dongak pohon rambutan yang pernah berbuah lebat. Ah! Sisa buahnya masih ada. Cepat-cepat tangan mungilnya mengambil galah. Satu, dua, tiga... rambutan jatuh berdedaian. Itu sahaja. Cepat-cepat dia mengupasnya.

"Mak kamu dah balik Ayis?" Sapa seorang kenalan emaknya tiba-tiba. Dia terpana. mengangguk dan tersenyum.

"Kamu dah makan ke belum?" Cepat-cepat dia mengangguk. Dia mengerti harga maruah diri. Tiada galang ganti. Kenalan emak berlalu pergi sambil menggeleng-gelengkan kepalanya dan dia hanya mampu tersenyum seperti selalu. Kring! Kring! Kring! Ahhh kakak dah balik! Hatinya girang menyambut kakak dia ambang pagar.

"Ayis buat apa kat sini?"
"Makan rambutan."
"Mak mana? Dah balik ke belum? Abah? Abang mana?"
"Dah. Mak tidur. Abah tak ada. Abang tak tau..."
"Ayis dah makan?"

Dia terdiam. Dibiarkan pertanyaan kakaknya berlalu bagai angin lalu. Dia tahu jawapan itu pasti ada di benak minda kakaknya seperti selalu. Di tahan airmata yang mula mampir. Berhentilah menangis...hanya anak kecil yang menangis!

"Jom balik, akak masak apa yang ada. Kita makan, ya?"

Dia hanya tersenyum membontoti langkah kakak yang juga longlai kepenatan kerana seharian menimba ilmu. Cepat-cepat diangkatnya beg sekolah dan peralatan kakak ke bilik. Dari jauh kelihatan emak masih juga lena. Biarlah. Dia sudah ada peneman. Mendengar celoteh kakak buat hatinya berbunga.

"Kakak masak nasi dengan goreng telur aje ya? Itu saja yang ada ni."
"Tak payah la goreng banyak telur tu, Ayis bukan makan banyak. Kakak boleh makan yang Ayis juga."

Kakak tersenyum melihat senyuman merahnya dan dia berkata kembali pada hati agar bisa menjadi kuat untuk kakak dan pujuk di hatinya agar berhentilah menangis untuk hari ini...

0 hujahmu: