Hari ini seperti selalu, dia tinggal sendiri lagi. Bukan dia tidak biasa. Cuma, kerana keterbiasaan itu jugalah yang kadangkala menghiris-hiris perasaan kecilnya. Yang menyapa paginya hanya kesunyian. Ada masa dia jelak. Tiada teman-teman. Jika ada sekalipun, sungguh dia gusar. Dia tidak tahu menyusun kata-kata. Selama ini, dia hanya bertemankan sunyi yang tidak memerlukannya bersuara. Sebenarnya, dia janggal. Sungguh janggal berada di dalam kelompok manusia kerana keterbiasaan bersendiri begini. Yang ada hanya radio dan buku-buku tinggalan kakak sebagai teman. Yang ada hanya pensel dan kertas tempat dia meluahkan isi hatinya dalam lakar-lakar yang tak sudah.

Dia berlari-lari anak ke dapur. Ahhh... kakak ada tinggalkan nasi goreng. Tidak perlulah dia berlapar hingga ke petang lagi. Segera dibuka tudung saji. Dituangkannya segelas air kosong seperti selalu. Baginya, inilah makanan yang cukup hebat untuk hari ini. Nasi goreng kosong dan ikan masin itu ditelan sungguh berselera. Selesai sahaja, pinggan segera dicucinya. Walaupun tidak begitu pandai, dia mencuba. Kemudian, dia kembali berlari ke anjung rumah, tempat di mana dia sering menghabiskan masa-masa sunyi itu sendiri.

"Cemi... Cemi... Nak tengok tak Ayis lukis gambar emak? Mari Ayis tunjuk. Nanti Ayis nak bagi pada mak."

Di paut kucing kesayangannya ke sisi, sama-sama melihat hasil lakarannya sebentar tadi. Dia tahu dia ada kelebihan yang tidak di miliki orang lain. Kelebihan itu jugalah yang sering mengisi kesunyiannya. Kelebihan itu jugalah yang digunakannya untuk meluahkan segala isi hati yang terbuku sepi.

"Ini Ayis... Ini emak... Kami nak pergi jalan-jalan. Emak pimpin tangan Ayis. Kami pakai baju cantik. Cantik tak lukisan Ayis ni?"

Tiada jawapan yang diterimanya. Hanya pandangan kasih seekor binatang yang tahu menilai kasih yang diberi. Dia mengusap-usap kepala Cemi kembali. Diciumnya pipi mongel Cemi berkali-kali.

"Nanti Ayis lukis gambar Cemi pula ya? Tapi atas kertas lain la. Yang ini Ayis nak bagi pada mak. Mak mesti suka. Betul tak?"

Dan dia terus leka melakarkan segala impian kosongnya yang entah bila mampu tertunai di atas kertas putih tanpa warna. Sesekali dia bernyanyi sendiri. Sesekali dia ketawa melihat gelagat manja si Cemi, berguling-guling mintakan perhatian. Sesekali dia berhenti kepenatan dan berbaring, merenung kosong atap zink, jadi teduh tubuhnya. Fikirannya kosong. Sesekali juga dia mendengus, seakan marah. Marah dengan dirinya sendiri kerana tidak berupaya melakukan sesuatu untuk emak dan keluarga.

"Cemi, hari dah panas. Ayis nak mandi. Nak pakai bedak, sikat rambut cantik-cantik. Ayis nak tunggu mak balik. Nak bagi lukisan ni pada mak. Nanti mak sampai Ayis bagilah. Cemi rasa mak suka tak? Suka, kan? Mari kita kemas...."

Diusap kembali badan Cemi yang mongel. Diciumnya perut kucing itu berkali-kali sambil girang ketawa. Kemudian cepat-cepat dikemaskan barang-barang yang bersepah di lantai anjung. Disusunnya kemas di atas meja dan dia cepat-cepat berlari mencari tuala lalu terus ke bilik air membersihkan diri. Hatinya bernyanyi. Akan di jadikan lakarnya itu sebagai luah rindunya yang telah lama terbuku. Sungguh dia rindu. Rindu mengharap kemesraan kasih itu. Bagaimana rasanya? Dia bernyanyi lagi... mengisi sunyi, mengisi gusar yang adakala menjengah diri. Bagaimana jika rindunya membeku lagi...

0 hujahmu: